Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan khas selama sehari ke Turkiye.

Jelas beliau lagi, keputusan itu dibuat setelah mendapat rayuan daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sebanyak dua kali sebelum ini.

“Nampak dia (Erdogan) terkesan dan ingat sahabat-sahabat harus ada untuk berikan semangat terutamanya kepada beliau sebagai presiden dan juga rakyat walaupun kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya kepada media di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar akan menaiki pesawat ke Turkiye malam ini dan akan berada di sana untuk bersama-sama Erdogan sebelum pulang ke ibu negara pada petang hari yang sama.

“Esok petang saya balik sebab Parlimen mesti bersidang dan ada beberapa temujanji yang saya sukar pinda. Sebelum pagi Khamis saya sampai (Parlimen),” katanya lagi.

Awal pagi tadi, Anwar berkata, beliau mungkin akan terbang ke Turkiye untuk menunjukkan sokongan moral kepada negara yang dilanda gempa bumi itu awal minggu lalu.

Menurut Anwar, keputusan itu adalah berdasarkan permintaan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan supaya dia dapat ke sana, memandangkan Malaysia antara yang terawal menghantar bantuan kemanusian ke negara itu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pada mulanya beliau enggan untuk berbuat demikian namun mengambil keputusan itu setelah mengenangkan hubungan baiknya dengan Erdogan.

“Saya mulanya enggan pergi sebab sudah hantar pasukan SMART, hospital sudah dibina tetapi saya lihat kesan kepada presiden itu dan dia rasa sahabat-sahabat harus bersama sebab itu saya nak pergi,” katanya lagi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu akan ditemani Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bersama-sama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Untuk rekod, gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut puluhan ribu nyawa dengan kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Turkiye pada Selasa minggu lepas mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM pertimbang ke Turkiye malam ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast