Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Rakyat akan bertindak balas kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya aktiviti mencipta pelbagai tuduhan terhadap Perikatan Nasional (PN) tidak dihentikan segera.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sekaligus menyaksikan PN merampas enam negeri berkenaan.

Keenam-enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

“Sekarang ini kalau boleh dihitamkan muka saya dan semua (pemimpin PN) ini, kata (kita ini) perompak dan lanun supaya rakyat tak sokong kita.

“Tapi saya percaya gelombang PN yang sudah pun kita lihat (pada) PRU lalu akan terus melanda negara ini (dan) enam buah negeri ini akan tarah. There will be backlash (akan ada tindak balas). Saya nak bagi amaran,” kata Muhyiddin dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, tuduhan dibuat Anwar kononnya berlaku penyelewengan dana semasa beliau menjadi perdana menteri hanya ciptaan demi menghasut rakyat membenci PN.

Mengulas lanjut, Muhhyiddin turut mendakwa pentadbiran kerajaan hari ini nampak berniat jahat dengan membuat tuduhan yang tidak berlaku kononnya berlaku pelbagai penyelewengan semasa beliau menjadi perdana menteri.

“Saya perhatikan kepimpinan kerajaan hari ini cenderung untuk mengambil tindakan-tindakan berbentuk, dengan izin, witch-hunting atau mencari kesalahan kerajaan dahulu yang sebenarnya tidak wujud,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.