Tertuduh, Terrence Conrad Fernandez, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan mesin dobi serta wang tunai berjumlah RM3.24 juta, empat tahun lalu.

MELAKA – Seorang pengusaha dobi didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan mesin dobi serta wang tunai berjumlah RM3.24 juta, empat tahun lalu.

Tertuduh, Terrence Conrad Fernandez, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh sebagai individu diamanahkan dengan harta iaitu sejumlah mesin dobi milik Syarikat Prisma Linecare Sdn. Bhd. dianggarkan bernilai RM3,222,089.01, yang secara tidak jujur menggunakan harta tersebut.

Perbuatan itu melanggar kontrak iaitu tidak menghantar mesin-mesin berkenaan ke sebuah premis disewa syarikat terbabit di Pulau Pinang, sebaliknya meletakkannya di sebuah premis yang disewa tertuduh sendiri di Kuantan, Pahang.

Kesalahan itu dilakukan ketika tertuduh berada di Kilang Eurostar Tractorss (M) Sdn. Bhd. di Lot PT Jalan PK 8 Kawasan Perindustrian Krubong di sini pada Januari 2019.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara tidak jujur menggunakan wang RM24,000 milik syarikat sama.

Ia dilakukan dengan memasukkannya ke dalam akaun Bank Hong Leong miliknya yang sepatutnya diamanahkan untuk pembayaran sewa premis di Pulau Pinang bagi meletakkan mesin dobi terbabit.

Perbuatan itu dilakukan ketika berada di Syarikat Prisma Linecare Sdn. Bhd. di Unit 1002, Level 10 Blok A Kelana Centrepoint, Petaling Jaya, Selangor pada 31 Januari 2019.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan RM50,000 sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.

Beliau juga memohon agar syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan sekali dalam sebulan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Peguam, James S. Thanjong Tuan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya mengusahakan kedai dobi dengan pendapatan bulanan kira-kira RM4,000 selain perlu menanggung isteri serta dua anak.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Darmafikri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dan bersetuju dengan semua syarat pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 21 Mac depan sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast