MELAKA – Seorang bapa dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya yang berusia enam tahun awal bulan ini.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 52 tahun yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan bapa kandung dengan mangsa itu didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dengan cara menyentuh anggota sulitnya bagi maksud seksual.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Padang dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 10.30 malam hingga 3 pagi, antara 5 dan 6 Februari lalu.
Mengikut fakta kes, kejadian itu disedari oleh bekas isterinya yang berusia 37 tahun selepas kanak-kanak itu mengadu kemaluannya berasa sakit sebelum memaklumkan bapanya telah melakukan sesuatu terhadap alat sulitnya.
Wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada 11 Februari lalu untuk membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh yang juga bekas anggota tentera boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah merayu hukuman yang rendah dengan alasan anak guamnya menanggung dua daripada lima anaknya yang masih bersekolah.
Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambilkira faktor kepentingan awam.
Hakim Darmafikri dalam penghakimannya berkata, pertuduhan itu merupakan perkara serius memandangkan tertuduh sebagai bapa, sepatutnya melindungi keselamatan anak yang telah diamanahkan.
Beliau kemudian memerintahkan hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 11 Februari lalu. – MalaysiaGazette