Zulkifli Mohamed

KUALA LUMPUR – Kesatuan kakitangan UMUM UiTM (KKUiTM) menyifatkan tindakan beberapa pihak  memburukkan imej universiti itu dengan pelbagai isu remeh sebagai tidak wajar.

Presidennya, Zulkifli Mohamed juga berharap, pihak berkenaan berhenti daripada menjadikan UiTM sebagai alat untuk meningkatkan populariti masing-masing.

“Kita amat berduka cita sekali dengan tindakan pihak berkenaan yang memburuk-burukkan imej UiTM. Harap mereka berhenti daripada membuat sebarang tuduhan yang tidak berasas.

“Umum tahu UITM ini adalah institusi yang amat penting bagi pembangunan orang Melayu dan bumiputera dengan 38 kampusnya di seluruh Malaysia telah banyak membantu meningkat taraf hidup masyarakat.

“Sepanjang penubuhannya UITM sentiasa komited dalam menjayakan aspirasi bangsa dan negara tanpa gagal.

“Justeru, kami memberikan ingatan kepada pihak di luar sana agar insaf dan muhasabah diri, jangan hanya kerana cita-cita individu, UiTM hendak dijadikan barangan untuk tukar ganti bagi memenuhi nafsu serakah kepentingan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata demikian sebagai kenyataan balasnya berhubung laporan media mengenai beberapa isu melibatkan pelaburan anak syarikat UiTM dan isu pembaziran institusi pendidikan itu.

Beliau mengingatkan pihak berkenaan agar menjaga maruah UiTM sebagai institusi keramat yang telah membantu orang Melayu sama ada ketika berkhidmat atau belajar di institusi itu.

Kini katanya, tiba masa untuk mereka sama-sama membangun UiTM sehingga ‘titisan darah yang terakhir’.

“Walau apa pun keadaannya, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka. Kami sebagai kumpulan pelaksana akan sentiasa bersama kepimpinan UiTM untuk terus maju ke hadapan beriringan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

“Pokok yang rendang jangan diracun agar semua dapat menumpang teduh,” katanya. – MalaysiaGazette