Nurul Himmah memperkenalkan pakej Inap Rahmah di Sarasera Homestay miliknya di Taman Saujana Indah, Bukit Katil, Ayer Keroh berharga RM5 semalam khusus untuk kumpulan B40 sehingga Mac ini.

MELAKA – Pernah merasai kesusahan hidup sejak kecil membantu ibu menjual sayur di pasar malam mendorong seorang kakitangan hospital menawarkan pakej Inap Rahmah berharga RM5 untuk penginapan semalaman di Bukit Katil di sini.

Pemilik Sarasera Homestay, Nurul Himmah Muhammad Kamaruzzaman, 34, berkata, idea menawarkan pakej itu juga bagi menyambut usaha baik kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan khususnya kumpulan B40 di negara ini.

Menurutnya, pakej Inap Rahmah yang dijenamakan dari konsep Menu Rahmah itu juga bagi mempromosikan sektor pelancongan Melaka menjelang Tahun Melawat Melaka 2024.

Nurul Himmah memperkenalkan pakej Inap Rahmah di Sarasera Homestay miliknya di Taman Saujana Indah, Bukit Katil, Ayer Keroh berharga RM5 semalam khusus untuk kumpulan B40 sehingga Mac ini

“Saya terfikir, kalau kita sudah ada Menu Rahmah, kenapa tidak saya turut membantu rakyat B40 yang mungkin tidak pernah merasai pengalaman indah bersama keluarga bermalam di inap desa ala mewah ini yang dilengkapi kolam renang pada harga cuma RM5 untuk satu malam.

“Tambahan pula, saya pernah merasai kepayahan hidup membantu ibu berniaga sayur di pasar malam selepas ayah meninggal dunia ketika saya berusia empat tahun.

“Sebab itu harap usaha kecil saya yang terhad ini dapat memberi makna yang besar kepada mereka yang benar-benar mengimpikannya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Nurul Himmah berkata, Inap Rahmah di Sarasera Homestay yang mula beroperasi Januari lalu akan memberi potongan harga sehingga 99 peratus berbanding harga asal RM650 semalam pada hari biasa manakala RM750 pada hari cuti umum dan hujung minggu.

Nurul Himmah Muhammad Kamaruzzaman

“Bagaimanapun, Inap Rahmah ini cuma ditawarkan pada hari biasa bermula Februari hingga Mac ini tertakluk pada kekosongan dan memenuhi syarat ditetapkan.

“Antara syaratnya penginap perlu kemukakan dokumen pendapatan supaya usaha ini betul-betul sampai kepada kumpulan sasar kerana saya juga pernah merasai kehidupan serba kekurangan.

“Niat saya mahu keluarga besar mereka, mungkin 10 atau 15 orang berkumpul bersama menikmati kemudahan kolam renang sambil mengadakan BBQ yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Tambahnya, antara kemudahan disediakan ialah, basikal dan kolam renang untuk kanak-kanak, set BBQ dan empat buah bilik dilengkapi penyaman udara termasuk ruang tamu dan dapur yang luas.

Kemudahan lain adalah siaran stesen televisyen berbayar, Wi-fi dan sebarang tempahan pakej Inap Rahmah di Homestay Sarasera terletak kawasan kampung di Taman Saujana Indah, Bukit Katil, Ayer Keroh boleh dibuat di talianĀ  019-6003234 (Ema) atau 012-6943234 (Yaya). – MalaysiaGazette