KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop berhasrat untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam dalam pemilihan parti kali ini.
Ahmad Mua’adzam berkata, beliau mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali mendapat tempat di hati rakyat khususnya Parlimen Shah Alam.
“Saya yakin dan percaya dengan idea, semangat juang yang kental sepenuh jiwa dan raga serta segala pengalaman yang ada, saya dapat menggembeleng segala usaha dan gerak kerja yang sepadu.
“Bersama-sama kita memastikan kebangkitan UMNO dan meyakinkan rakyat khususnya di Shah Alam agar kembali bertaut kepada UMNO dan BN,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan penyandang jawatan itu, Datuk Azhari Shaari berdepan hukuman penjara lima tahun atas enam pertuduhan menyeleweng dana program ibadah korban berjumlah RM440,000 dan penggunaan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Namun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rozilah Saleh.
Azhari, 53, didakwa sebagai penanda tangan tunggal bagi tiga persatuan secara tidak jujur menyalahgunakan dana bagi program ibadah korban dan sumbangan persekolahan anak yatim.
Ahmad Mua’adzam percaya beliau mempunyai kelebihan tersendiri untuk menerajui kepimpinan UMNO Bahagian Shah Alam di samping mendapat sokongan majoriti daripada akar umbi.
“Saya juga percaya, hubungan baik saya bersama akar umbi dapat membawa semua jentera untuk terus melipat ganda usaha bagi mencapai kemenangan PRU16 demi agama, bangsa dan tanah air.
“Saya dengan ini bersedia menggalas amanah besar ini, merayu sokongan dan dokongan serta undi anda.terima kasih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette