Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemulihan sentimen pasaran di peringkat global, pemulihan keyakinan pelabur terhadap Malaysia serta penyederhanaan kekuatan dolar Amerika Syarikat (AS), antara faktor utama yang mendorong kepada pengukuhan mata wang ringgit, kata Timbalan Menteri Kewangan Sim Chee Keong.

Beliau berkata, secara amnya, mata wang tempatan telah mencatatkan pengukuhan sebanyak 3.2 peratus antara 24 Nov 2022 dan 17 Feb 2023 berikutan kestabilan politik negara yang menjurus kepada pengukuhan pelabur.

Katanya, pada masa yang sama disokong oleh faktor penyederhanaan kekuatan dolar AS berikutan jangkaan pasaran bahawa bank pusat AS akan menaikkan kadar faedah secara lebih perlahan untuk menangani inflasi di AS yang kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan berterusan.

“Faktor yang sama juga telah mendorong kepada pemulihan mata wang serantau,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) mengenai pengukuhan nilai mata wang ringgit selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan serta kesan ke atas ekonomi dan kadar inflasi negara.

Sim turut menekankan bahawa ringgit juga mendapat kesan positif daripada berita mengenai pembukaan sempadan China pada 8 Januari lepas dan ini menyumbang kepada prospek ekonomi yang lebih baik.

Menjawab mengenai kesan pengukuhan ringgit terhadap ekonomi dan kadar inflasi negara, Sim berkata meskipun terdapat kejutan luaran yang besar namun Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara berkembang sebanyak tujuh peratus pada suku keempat 2022 dan 8.7 peratus pada keseluruhan 2022.

“Pada masa yang sama, kadar inflasi negara menyederhana kepada 3.8 peratus berbanding 4 peratus pada November 2022 dan kadar inflasi 2022 secara keseluruhan menyederhana kepada 3.9 peratus  berbanding 4.5 peratus pada suku sebelum itu,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast