Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – “Jangan ada dolak-dalik selepas ini,” kata Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berhubung laporan siasatan SPRM berkaitan Hakim Mohd Nazlan Ghazali yang sudah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak berterus terang, tetapi Datuk Seri Azalina Othman Said sebut “jika memenuhi elemen pertuduhan” boleh ditafsir macam ada kes.

”Maka diharap Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara ambil tindakan segera demi keadilan,” tegas beliau dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Puad turut menuntut laporan siasatan itu terhadap Nazlan didedahkan kepada orang ramai.

Katanya, rakyat sudah penat menunggu.

Semalam, di Dewan Rakyat, Azalina memaklumkan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan ke atas isu kebocoran penyiasatan berkaitan Hakim Mahkamah Rayuan itu telah selesai dijalankan.

Menurutnya, laporan tersebut telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Azalina berkata, SPRM memaklumkan perkara tersebut dalam satu surat kepada beliau dua hari lalu.

“Saya telah dimaklumkan oleh SPRM melalui surat bertarikh 21 Februari bahawa satu Laporan SPRM terhadap Datuk Mohd Nazlan Bin Ghazali telah dikemukakan pada tarikh yang sama kepada Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara berhubungan pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

”Tiada maklumat lanjut mengenai perkara ini dimaklumkan kepada saya melalui surat tersebut.

“Perkara ini juga tertakluk kepada keputusan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara selaras dengan Fasal-Fasal 3 dan 3A Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan,” jelas Azalina. – MalaysiaGazette

Laporan siasatan SPRM berkaitan Nazlan diserah kepada Ketua Hakim Negara – Azalina