PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan sekumpulan 29 warga asing kerana didapati memiliki dan menggunakan kad pengenalan (IC) palsu dalam Operasi Khas (Op Pintas) di kawasan perindustrian Puchong, Selangor petang semalam.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan itu dilakukan hasil daripada aduan orang awam dan maklumat risikan pihaknya kira-kira 10 hari sebelum operasi.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat ramai warga asing bekerja di kawasan perindustrian Puchong yang menggunakan kad pengenalan palsu.
“Operasi yang disertai 17 pegawai penguat kuasa JPN memintas satu van penumpang yang membawa pekerja warga asing disyaki menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja.
“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan kenderaan yang dijalankan ke atas 14 orang penumpang telah menjumpai 13 belas kad pengenalan palsu dan satu kad pengenalan milik orang lain.
“Pemeriksaan susulan di kawasan Taman Perindustrian Puchong pula mendapati dan menahan 15 lagi warga asing yang turut melalukan kesalahan sama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambah Ruslin, kesemua 29 warga asing yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan 26 perempuan, berumur antara 19 hingga 70 tahun.
“Kesemua mereka mengaku berasal dari Sulawesi, Medan dan Aceh, Indonesia,” katanya.
Kesemua warga asing disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Kesemua 29 warga asing terbabit kini ditahan reman semalam empat hari bermula hari bagi membantu siasatan.
“Mereka yang ditangkap ini telah ditahan di lokap Jinjang, Kuala Lumpur sejak semalam,” katanya.
Hasil siasatan juga mendapati kesemua kad pengenalan palsu diperoleh daripada ejen tidak dikenali di Lembah Klang dengan bayaran RM300.
“Kita masih mengesan, berdasarkan maklumat daripada warga asing yang ditahan ejen ini bergerak secara mudah alih dan ada beberapa tempat di Lembah Klang yang dikenal pasti.
“Kita akan ambil tindakan selanjutnya termasuk meminta bantuan daripada agensi-agensi lain untuk memastikan operasi ini berjaya,” katanya.
Mengulas lanjut, pihaknya mengesyaki kes itu melibatkan sindiket kerana ada dalam kalangan mereka menggunakan alamat di Sabah.
“Bagaimanapun mereka beroperasi di Lembah Klang dan warga asing ini memiliki kad pengenalan yang kualitinya terlalu jauh daripada kad pengenalan sebenar dan tiada ciri-ciri keselamatan, cetak gambar atas plastik,” jelasnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan ejen yang menawarkan kad pengenalan palsu ini didalangi warga negara tempatan.
“Hasil siasatan mereka hanya jumpa sekali sahaja dengan ejen untuk dapatkan kad pengenalan. Paling cepat dalam tempoh seminggu untuk dapatkan kad pengenalan.
“Dalangnya orang tempatan, kita tidak tolak kemungkinan ada juga warga asing tapi mereka berurusan dengan warga tempatan di Lembah Klang,” katanya.
Sementara itu, Ruslin berkata, berdasarkan statistik tangkapan dan pendakwaan kes penggunaan kad pengenalan palsu ini menunjukkan peningkatan sejak 2019 dan tahun ini dijangka berlaku pertambahan secara mendadak.
“Sebanyak 477 kes tangkapan dan pendakwaan warga asing yang memiliki dan menggunakan kad pengenalan palsu dalam tempoh lima tahun lalu.
Sebanyak 59 kes direkodkan setakat awal Januari tahun ini, berbading 130 kes pada 2022, 2019 (115), 2020 (69) dan 2021(104). – MalaysiaGazette