KUALA LUMPUR – Dua bekas pemimpin muda UMNO hari ini memulakan siri podcast mereka bagi membincang isu politik di tanah air.
Kedua-duanya adalah bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin atau KJ dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Dalam siri pengenalan audio dikenali sebagai Keluar Sekejap (KS) itu, KJ bertanya kepada Shahril sama ada rakannya itu akan menggunakan platform podcast untuk ‘balas dendam’ atau vendetta kerana dikenakan tindakan oleh UMNO – Shahril menafikannya.
“Gurau sikit-sikit boleh kot? Tak guna (podcast) untuk lepas geram. Itu bukan stail kita,” tegas Shahril.
Baru-baru ini, KJ telah dipecat dari UMNO manakala Shahril Hamdan telah digantung selama enam tahun.
Sebelum itu, KJ menganggap tindakan parti menggantung Shahril atas alasan kerana tidak membuat penyelidikan adalah mengarut.
Beliau merasakan punca sebenar Shahril dikenakan tindakan kerana pemimpin muda itu menuntut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan selepas kekalahan teruk pilihan raya umum baru-baru ini.
KJ berkata, penglibatannya dalam siaran podcast itu sebagai pelengkap diri sebagai penyampai HotFm baru-baru ini.
Menurut Shahril pula, siaran podcast KS akan dibuat setiap minggu dan siaran kedua diadakan 1 Mac ini selama setengah jam.
Pada episod kedua, KS akan membincangkan topik 100 hari pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengenai nama KS, KJ berkata ia diberi oleh pegawai medianya, Raja Shahril Bakar atau lebih dikenali sebagai Bobby.- MalaysiaGazette