KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menamakan empat kru bot Jabatan Perikanan yang dipercayai hilang ketika dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi dari Pengerang, petang semalam.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bot dengan nombor pendaftaran PL87 itu membawa Fatimah Razak, 36, Zaharin Baharudin, 37, Halim Sanip, 52 dan Marzuki Jusuh, 53.
“Saya sendiri telah bercakap dengan semua waris mangsa pada pagi tadi, keempat-empat orang saya dapat hubungi. Saya juga telah mengarahkan Jabatan Perikanan untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada semua waris mangsa.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan keselamatan mereka dan berharap semua mangsa akan segera ditemui dalam keadaan selamat,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Awal hari ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor mengesahkan bot milik Jabatan Perikanan hilang.
Justeru itu, Maritim mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan bot berkenaan.
Mohamad Sabu berkata, Maritim Malaysia yang mengetuai operasi itu juga akan disertai pasukan Perkhidmatan Polis Marin (PPM), Police Operations Command Centre (POCC) dari Singapura dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dari Indonesia.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Saiful Lizan Ibrahim pula berkata kerosakan mungkin berlaku akibat cuaca buruk di perairan Johor Selatan sejak semalam.
“Semalam cuaca di perairan Johor Selatan amat teruk dengan hujan lebat.
“Ada kebarangkalian bot ini berlaku kerosakan dan hanyut di perairan dan mungkin hanyut ke perairan antarabangsa jiran,” katanya dalam sidang media sama.
Terdahulu, Pengarah APMM Johor, Nurul Hizam Zakaria, berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan berhubung kejadian itu, pada 7.51 malam tadi.
Beliau berkata, bot bernombor PL87 itu tidak dapat dihubungi dan gagal dikesan setelah berlepas dari Tanjung Pengelih, Pengerang kira-kira 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya dijangka tiba di Pangkalan Tampoi, di sini, pada 6.30 petang, pada hari sama. – MalaysiaGazette