Dr Muhamad Akmal

MELAKA – Kanak-kanak berusia sembilan bulan sehingga tujuh tahun di beberapa kawasan di negeri ini akan diberi suntikan semula vaksin Measles Rubella (MR) atau Campak Rubella susulan terdapat beberapa kes jangkitan virus yang boleh membawa maut itu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, vaksin itu adalah dos sama yang pernah diberikan kepada kumpulan itu ketika berusia sembilan bulan dan satu tahun untuk mencegah penyakit campak dan rubella.

Menurutnya, setakat ini terdapat beberapa kes demam campak di sekitar kawasan Taman Bukit Rambai, Taman Rambai Utama, Taman Rambai Seksyen 2 dan Kampung Gedung Lalang.

“Penyakit ini merbahaya dan boleh menyebabkan komplikasi seperti hilang pendengaran, hilang penglihatan serta kematian terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

“Jadi sebagai sebagai langkah kawalan dan pencegahan, Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah akan melaksanakan Suplementary Immunizetion Activity (SIA) terhadap semua kanak-kanak berusia sembilan bulan sehingga tujuh tahun.

“Kumpulan ini akan disuntik semula dengan vaksin Measles Rubella (MR) iaitu vaksin yang sama diberikan sebelum ini ketika mereka berusia sembilan bulan dan satu tahun,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, suntikan vaksin MR akan dilaksanakan selama lapan hari bermula hari ini sehingga 8 Mac.

“Para petugas dari klinik kesihatan akan membuat lawatan dari rumah ke rumah bagi pelaksanaan imunisasi semula demam campak ini dan diharapkan ibu bapa dapat memberikan kerjasama demi kesihatan dan keselamatan anak-anak.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Vaksin PKD Melaka Tengah di talian 013-2077332 atau 06-2840806,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast