Penasihat Parti Putra, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali serta kepimpinan tertinggi parti bergambar kenangan sambil melaungkan 'Hidup PUTRA' selepas menerima kad keahlian parti pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan membuat keputusannya menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri selepas mengadakan perjumpaan bersama akar umbi dan pimpinannya dalam masa terdekat.

Penasihat baharunya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun pihaknya mempertimbangkan hasrat untuk meletakkan calon dalam pilihan raya itu.

“Itu kita akan bincang selepas saya ada perjumpaan dengan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Putra.

“Kita akan timbanglah, banyak masalah kita hadapi, di antaranya ialah kegunaan duit dalam pilihan raya,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Negeri-negeri berkenaan ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Amirudin memaklumkan, kata sepakat itu dicapai menerusi mesyuarat antara Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri terbabit pada 22 Februari lalu.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memberi bayangan PRN kali ini tidak terlepas daripada insiden penyalahgunaan duit untuk membeli undi, seperti mana yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita tahu mereka belanja sehingga RM300 juta bagi satu parti sahaja.

“Kita tak ada duit, kita tak mahu pilihan raya dikuasai oleh orang yang ada duit sahaja.

“Orang yang ada duit ini kadang-kala duit dicuri, jadi bila duit dicuri oleh pencuri dan dia dapat jadi kerajaan, jadi kita dapat kerajaan pencuri.

“Kita nakkah kerajaan pencuri, jangan ingat kerana RM100 kita terima, kita pilih pencuri untuk jadi kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir juga berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lagi menghadkan perbelanajan terhadap calon sahaja, bahkan peraturan sama perlu dikenakan kepada parti yang bertanding.

“Saya harap perbelanjaan bukan sahaja oleh calon, calon terhad kepada RM200,000 sahaja, tak boleh lebih.

“Tapi kita dapati parti boleh belanja sampai RM300 juta.

“Ini bukan pilihan raya, ini acara sogokan untuk jadi Perdana Menteri, lebih dari RM3.5 juta bagi satu kawasan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast