MELAKA – Seorang ibu tunggal dan duda didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mencuri 20 kotak susu formula bernilai lebih RM6,000 di sebuah pasar raya di sini bulan lalu.

Tertuduh Mohd Azlee Ibrahim, 39 dan Noor Bayah Ab Manaf, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh secara bersama didapati dengan niat curang telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac A+ 2FL Step 1, 2.32 kilogram dan Enfalac A+ 2FL Step 2, 2.32 kilogram bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan tanpa kerelaan pemiliknya.

Kesalahan itu dilakukan di Pasar Raya AEON Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah, di sini antara pukul 5 petang hingga 7.45 malam 13 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Azlee dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah dengan alasan hanya bekerja sebagai operator kilang, mempunyai empat anak kandung yang masih bersekolah, selain perlu menyara anak Noor Bayah yang juga bakal isterinya berusia tujuh bulan.

Noor Bayah turut meminta jaminan rendah kerana merupakan ibu tunggal yang tidak bekerja.

Muhamad Ehsan kemudian menawarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Nabilah mengarahkan setiap tertuduh dikenakan ikat jamin RM7,000 dan menetapkan tarikh 17 April ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast