MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan mengheret, menumbuk muka dan menendang belakang isterinya, tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Hidayat Omar, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sengaja telah mendatangkan cedera kepada isterinya, Siti Noraisyah Aziz, 21, dengan cara mengheret, menumbuk muka dan menendang bahagian belakangnya.
Selepas itu, tertuduh juga telah membaling telefon bimbit sehingga terkena bahagian tepi mata mangsa.
Perbuatan itu dilakukan sekitar pukul 4 pagi di sebuah rumah di Taman Pokok Mangga dalam daerah Melaka Tengah, pada 20 Disember 2022.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang mana sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000, sebelum tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Majistret Sharda Shienha kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000.
Kes akan disebut semula 13 April ini. – MalaysiaGazette.