Onn Hafiz menyampaikan kata-kata semangat kepada mangsa banjir ketika lawatannya di PPS Sekolah SKJ(C) Sulong di Parit Sulong, semalam. Foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor menghargai keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan peruntukan segera sebanyak RM50 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri lain yang turut menggerakkan bantuan segera kepada Johor.

“Syukur Alhamdulillah, sewaktu lawatan saya di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah SKJ(C) Sulong di Parit Sulong, saya menerima perkhabaran gembira bahawa Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu mangsa banjir serta keperluan lain yang mendesak. Terima kasih saya ucapkan.

“Kerajaan Johor juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kerana sudi menggerakkan bantuan segera kepada Johor.

“Semoga usaha yang diambil Kerajaan Persekutuan dan negeri dibantu agensi, syarikat-syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor, akan diberkati Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Onn Hafiz turut berdoa supaya semua yang terjejas akibat bencana banjir di Johor cekal dalam menghadapi ujian ketika ini.

“Insya-Allah kita akan dapat melalui tempoh yang serba mencabar ini,” ujarnya.

Semalam, kerajaan Persekutuan dilapor meluluskan peruntukan segera RM50 juta untuk Johor susulan bencana banjir yang disifatkan terburuk pernah melanda negeri itu.

Kelulusan itu diumumkan Perdana Menteri, bagi tujuan melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang terjejas disebabkan banjir. – MalaysiaGazette