Mohamad sempat mengusik seorang bayi dan ibunya yang penermpatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, Kampung Gubah, Segamat, hari ini.

SEGAMAT – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggunakan sebahagian besar peruntukan RM10 juta untuk membeli aset bot getah dan trak tujuh tan bagi membantu mangsa banjir pada masa hadapan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dua aset bantuan itu menjadi keperluan utama dalam usaha membantu mangsa banjir ketika ini khususnya di Johor yang menyaksikan angka terbesar hampir 40,000 penduduk terjejas ketika ini.

Menurutnya, ATM ketika ini menggunakan bot tempur dan trak tiga tan untuk operasi menyelamat dan memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dilihat kurang sesuai.

“Bot tempur aset yang banyak kita gunakan sekarang tak boleh masuk tempat cetek berbanding bot getah seperti digunakan komando dan bomba yang amat berguna untuk keluarkan mangsa-mangsa terperangkap banjir terutamanya warga emas.

“Kita juga banyak aset trak tiga tan sedangkan trak tujuh tan amat berguna kerana boleh lalu (redah) kawasan yang tak boleh dilalui kenderaan ringan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, Kampung Gubah, di sini, hari ini.

Mohamad bertanya khabar keadaan salah seorang penghuni di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Tandong, Buluh Kasap, Segamat dalam tinjaunnya pagi tadi.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, penambahan aset itu melalui peruntukan RM10 juta yang diluluskan pada mesyuarat pasca-Kabinet semalam juga sebagai persediaan ATM menghadapi ancaman bukan tradisi.

“Sekarang ini, climate change (pemanasan global)  merupakan ancaman bukan tradisi yang perlu kita ubah suai strategi menjadi sebahagian pasukan yang boleh beri bantuan dan menyelamat semasa keadaan-keadaan sebegini.

“Saya akan minta (KSU) Ketua Setiausaha kementerian teliti dan minta pandangan Tentera Darat (Malaysia) (TDM) kerana mereka merupakan petugas utama dalam hadapi bencana alam seperti banjir.

“Bila dah dapat keperluaan, kita akan melihat sama ada ianya seimbang atau tidak kerana keperluan aset ini bukan sahaja Johor, tapi juga untuk negeri-negeri lain yang selalu dilanda banjir seperti Pahang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan menyalurkan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada negeri Johor bagi membantu mangsa banjir serta keperluan-keperluan segera di negeri itu. – MalaysiaGazette.