Dr. Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya UMNO mempelopori gerakan dan memperkenalkan inisiatif baharu dan tidak lagi mengulang siar kejayaan lepas yang kini tidak lagi selari dengan kehendak semasa.

Calon ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, kejayaan lampau seperti MARA dan UiTM tidak lagi berjaya menarik orang Melayu khususnya golongan muda.

“Saya lihat sejak akhir-akhir ini kita tak ada program yang betul-betul mendapat menarik jiwa orang Melayu.

“Dulu UMNO kuat ada MARA dan Amanah Saham Bumiputera, tetapi lepas itu kita hanya membincangkan tentang kejayaan kita.

“Perkara baharu kita tak buat, sebab itu anak muda hari ini jauhkan diri daripada kita kerana kita tak buat benda yang baharu, tiada tawaran baharu, ini jadi masalah kita.

“UMNO sepatutnya pelopori gerakan baharu, memberi harapan baharu, membina tamadun baharu, bukan berbicara soal-soal lepas yang telah kita selesaikan dengan baik,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah Dr Khir, cabaran politik dan dua ni hari ini sudah berbeza, kemiskinan luar bandar dan pendidikan bukan lagi menjadi isu besar.

“Tetapi hari ini isu paling isu besar ialah soal agihan ekonomi, kita miskin di bandar,” jelasnya.

Beliau berkata, isu-isu lapuk yang dikitar semula menyebabkan anak muda pada hari ini menjauhkan diri daripada UMNO, apatah lagi kini bersama DAP.

“UMNO ini sudah jauh daripada perjuangan asal kita, lebih-lebih lagi kita kini kerajaan PH yang mana ada DAP dalam kerajaan hari ini

“Sebab itu UMNO kena kembali kepada perjuangan asal kita untuk bangsa, agama dan negara,” katanya.

Oleh kerana itu, bekas Menteri Besar Selangor itu menawarkan diri untuk bertanding bukan sahaja MKT bahkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dalam pemilihan parti kali ini.

“Saya merasakan perlu ada pemikiran baharu dan dasar baharu kita gagaskan semula supaya orang Melayu sedar bahawa mereka perlukan UMNO,” katanya.

Khir juga memberitahu, meskipun 70 peratus rakyat negara ini merupakan orang Melayu dan Bumiputera, namun golongan majoriti itu masih teraba-raba untuk meraih agihan ekonomi itu.

“Masalah kita hari ini ialah peniaga tak cukup modal dan sebagai, tapi kerajaan hari ini tidak bawa idea terutamanya tubuhkan satu bank macam dulu Bank Bumiputera khas untuk bantu orang Melayu.

“Kita tak perlu modal banyak sebenarnya, sebab orang Melayu hari ini sudah ada jurubank berjaya, ahli ekonomi berjaya.

“Kita kena kumpul orang bijak pandai ini untuk kita mengurus satu dana yang memberi kemudahan kepada orang Melayu untuk memulakan perniagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast