KUALA LUMPUR – Pemecatan Datuk Hasry Sham Chasmen daripada jawatan Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang empat tahun lalu tidak melunturkan semangatnya untuk terus berjuang dalam sayap parti itu.
Walaupun hilang jawatan pada 2019 namun Hasry Sham tetap membantu sayap parti menjalankan kerja-kerja kebajikan melalui badan bukan kerajaan (NGO).
Setelah penat jerih dan kesetiaan tidak berbelah bahagi ditunjukkan pada penggal lalu, kini beliau diberi kepercayaan bukan sahaja menerajui sayap UMNO Bahagian Ampang, bahkan Exco Pergerakan Pemuda UMNO pada Pemilihan UMNO 2023 kali ini.
“Selepas dipecat, saya terus buat program membantu rakyat Malaysia khususnya Ampang melalui Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (PUMMA).
“Alangkah terkejutnya saya diberi kepercayaan menggalas jawatan Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN) Selangor hanya kerana usaha saya selama ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, Hasry Sham menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang dalam pemilihan sayap parti pada 11 Mac ini.
Tambahnya, lebih mengujakan apabila hasrat beliau bertanding bagi kedua-dua jawatan itu mendapat restu majoriti pemimpin cawangan dan perwakilan UMNO Bahagian Ampang.
“Ketua-ketua Pemuda dalam cawangan UMNO Ampang termasuk perwakilan menyatakan bersetuju untuk saya bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang dan Exco Pemuda UMNO Malaysia.
“Hasrat saya ini diteruskan selepas mendapat sokongan dan dokongan yang baik daripada seluruh Ketua Pemuda cawangan Ampang dan seterusnya perwakilan di Ampang.
“Atas dasar kerana mereka merasakan telah dikhianati sebelum ini, mereka ingin menebus balik kesilapan lalu dalam pemilihan kali ini,” katanya.
Katanya lagi, perwakilan Pemuda UMNO Ampang juga mahu memastikan kepimpinan sayap itu diberikan kepada anak muda yang memahami kehendak rakyat di bandar.
“Mereka ingin membuktikan kepada Malaysia bahawa Ampang adalah satu-satunya hub Pemuda, lebih-lebih lagi kita di kawasan bandar.
“Dalam masa sama kepadatan penduduk di Ampang memerlukan satu kepimpinan Pemuda Ampang untuk mengembalikan orang-orang muda menyokong UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette