PUTRAJAYA – Pemimpin pembangkang diingatkan tidak melakukan sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan termasuk rampasan kuasa sebelum habis tempoh penggal ini.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berharap perkara itu tidak berulang seperti mana yang berlaku pada penggal lepas dengan pentadbiran tiga Perdana Menteri.

Sebaliknya, Salahuddin mahu semua pihak memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara sekurang-kurangnya satu penggal.

“Bagi saya beri masa untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pasukan kami yang ada pada hari ini untuk diberikan masa yang cukup.

“Tidak berlaku lagi rampasan kuasa di tengah jalan, Kudeta, langkah-langkah Sheraton dan seumpamanya

“Beri kami satu penggal atas mandat ini, Insya-Allah kami akan bekerja dengan baik dan bersungguh-sungguh untuk kita tunaikan mandat rakyat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Rahmah Raya anjuran pusat beli-belah AEON Big, IOI City Mall, di sini, hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjangkakan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar akan tumbang tidak lama lagi.

Perkara itu didedahkan Abdul Hadi ketika sesi Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini anjuran Yayasan Permata Ummah di Kuala Lumpur, 28 Februari lalu.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, tidak adil untuk menghukum kerajaan gagal melakukan apa-apa inisiatif untuk membantu rakyat hanya dalam tempoh tiga bulan pentadbiran sahaja.

“Saya minta kita berlaku adil, tiga bulan bukan masa yang adil untuk kita menilai prestasi kepimpinan sebuah kerajaan.

“Beri kami masa untuk kita sampaikan, tiga bulan bukan satu masa yang adil untuk kita katakan kita tak berbuat apa-apa,” katanya.

Sebaliknya beliau sendiri terbuka menerima kritikan dan pandangan daripada mana-mana pihak sepanjang pentadbiran kerajaan hari ini.

“Saya tak keberatan untuk menerima apa-apa juga kritikan, kita terbuka, kita menerima apa juga pandangan,” katanya.

Sementara itu, ketika mengimbas pentadbiran Kerajaan PH pada 2018, Salahuddin mahu Tun Dr Mahathir Mohamad ingat kembali betapa sukarnya mentadbir negara ketika itu.

“Saya sangat hormat kepada Tun, saya juga pernah berkhidmat dengan Tun dalam Kerajaan PH pada 2018

“Saya rasa pihak Tun juga mesti juga memberikan peluang kepada Kerajaan Perpaduan ini di bawah Datuk Seri Anwar

“Kita juga menghadapi kesukaran waktu itu dengan isu-isu dimainkan, isu perkauman, isu agama, isu ICerd dan seumpamanya.

“Bukan mudah waktu itu untuk Kerajaan PH di bawah Tun menghadapi dalam tempoh tiga bulan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast