Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) tidak gentar dengan tindakan saman yang akan diambil oleh sebuah syarikat pelaburan.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, seingatnya, dia tidak mendedahkan nama syarikat dalam sidang media kelmarin sebaliknya syarikat yang terbabit telah tampil sendiri,  secara tidak langsung mengesahkan keterlibatan mereka dengan laporan pengadu-pengadu tentang saham Islamic Redeemable Shares (RPS-i) ini.

“Tidak faham sebenarnya, sepatutnya syarikat-syarikat yang tidak bayar duit pelaburan mereka patut bersimpati dengan kesusahan pelabur, bayar duit pelaburan bukan cuba salahkan MHO sebagai penyebab kegagalan mereka bayar duit pelabur,” katanya kepada MalaysiaGazette

Hishamuddin mengulas kenyataan sebuah syarikat kepada MalaysiaGazette yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap MHO selepas mendakwa kenyataan media MHO mengenai sindiket pelaburan itu merujuk kepada syarikat mereka.

Syarikat itu mendakwa mengalami kerugian ratusan juta ringgit akibat dakwaan tersebut.

Hishammudin menambah, tindakan syarikat itu ke atas MHO agak ‘mengecewakan’ kerana pertubuhan itu hanya membantu lebih 300 pelabur yang mencari mereka bagi mendapatkan kembali wang yang telah dilabur tanpa hasil itu.

“Sebenarnya MHO bukan sahaja dilantik menyelia laporan polis atau buat kenyataan media sebaliknya turut menuntut keadilan itu ke atas pelanggan perkhidmatan MHO dan juga ahli MHO. Kita akan teruskan tindakan susulan.

Tambah Hishamuddin lagi, mana-mana syarikat yang telah menebus saham tetapi enggan membayar penebusan itu dan dividen seperti dijanjikan sebenarnya menindas pelanggan-pelanggannya.

“Syarikat ini memberi janji demi janji, tarikh demi tarikh. Namun tidak juga bayar. Yang membimbangkan kita apabila ia melibatkan jumlah pelabur yang ramai dan ratusan juta ringgit. Bukankah ini suatu penipuan yang sengaja dibuat dengan menidakkan hak pelabur-pelabur tersebut?

“Ada yang berhutang dan tidak mampu bayar hutang, duit simpanan habis lagi-lagi berdepan dengan tekanan kos sara hidup dan segala macam masalah. Kasihanilah mereka. Jangan gertak hendak saman dan harap kita semua akan diam sahaja.

“Kepada mana-mana pihak yang rasa tertipu, tertindas atau dizalimi bolehlah hadir ke MHO, kita sedia membantu. Kita akan gunakan semua yang termaktub dalam undang-undang. Itu janji kita kepada semua yang tertindas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin juga memberi nasihat kepada mana-mana pihak yang cuba melindungi syarikat seperti ini supaya sentiasa beringat tentang kesengsaraan mangsa.

“Janganlah ada yang lari ke luar negara, tunaikan dulu tanggungjawab bayar kepada pelabur-pelabur anda. Mangsa juga bukan senang dapat wang untuk beli saham-saham yang anda tawarkan ini, rata-rata mereka bekerja sehingga ke akhir hayat mereka dan keluarkan simpanan mereka. Kini semuanya lesap,” katanya. – MalaysiaGazette

Dakwa tipu pelaburan, syarikat ambil tindakan undang-undang ke atas MHO