Jambatan Bailey di jalan masuk Perwira Jaya dan Selancar, Rompin, Pahang boleh digunakan bermula hari ini.

KUANTAN –  Semua jenis kenderaan yang melebih muatan 40 tan dilarang melalui Jambatan Panel Keluli Bermodular (Jambatan Bailey) di jalan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar, Rompin, Pahang yang mula beroperasi hari ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang, Datuk Ir. Ts Hafizah Zakaria berkata, laluan satu lorong itu sudah dibuka pada jam 8 pagi tadi untuk semua jenis kenderaan ringan sahaja.

Hafizah Zakaria

“Kenderaan berat yang melebih had muatan dilarang sama sekali untuk melalui jambatan ini.

“Laluan ini dibuka bagi akses keluar dan masuk ke Jalan Kuantan – Segamat serta laluan ke Jalan Selancar Redong.

“Sila patuhi papan tanda dan arahan yang telah disediakan. Kerjasama daripada semua pihak terutamanya pengguna jalan raya amat diharapkan bagi keselesaan semua,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambahnya JKR Pahang juga telah mengeluarkan notis makluman kepada orang ramai dan orang ramai yang mempunya sebarang pertanyaan boleh menghubungi JKR Daerah Rompin di talian 09-414 5040.

Menurut Hafizah, pemasangan jambatan panel keluli bermodular itu telah siap sepenuhnya semalam dengan tempoh pembinaan selama 48 jam.

ARTIKEL BERKAITAN :

3 ibu sarat mengandung di Felda Selancar diterbangkan TUDM ke Kuantan

Lebih 11,000 penduduk Felda Selancar terputus hubungan

TPM arah bina jambatan Bailey di Selancar

Jalan masuk ke Perwira Jaya, Selancar ditutup akibat tanah runtuh

Kerja-kerja pemasangan jambatan bailey sepanjang 140 kaki itu dijalankan petugas JKR dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Skuadron ke 11 Rejimen Askar Jurutera Mekanize dan Skuadron ke 8 Rejimen Askar Jurutera DiRaja Malaysia.

Pada 1 Mac lalu, jalan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar, Rompin, ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh. – MalaysiaGazette