Haron Safar, menerima replika kunci pada Majlis Penyerahan Rumah Nelayan di bawah projek PSN negeri di Perkampungan Nelayan, Kuala Sungai Baru Ilir, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – “Syukur Alhamdulillah, dapatlah anak-anak beraya di rumah baharu tahun ini. Kalau nak harapkan pendapatan nelayan, tak tahulah sampai bila saya mampu sediakan rumah batu berkembar untuk anak,” kata Rozali Zakaria, 47.

Itu luahan nelayan Pantai Kundor yang menjadi antara 60 penerima rumah nelayan di bawah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) negeri di Perkampungan Nelayan, Kuala Sungai Baru Ilir, Masjid Tanah di sini hari ini.

Bapa kepada empat anak berusia lima hingga 14 tahun itu berkata, dia amat bersyukur kerana terpilih membeli rumah semi- D setingkat berharga RM70,000 itu pada harga subsidi RM45,000 selepas lebih empat tahun menanti.

“Bila tahu saya layak untuk membeli rumah ini, boleh dikatakan lebih lima kali saya bawa anak-anak melihat tapak projek ini kerana mereka begitu teruja untuk masuk ke rumah batu milik sendiri.

“Selama ini, kami enam beranak tinggal di rumah pusaka keluarga di Pantai Kundor dan tidak sabar bawa anak-anak pindah ke sini tambahan pula menjelang puasa dan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Rozali Zakaria

Terdahulu, Rozali menerima replika kunci berkenaan yang disampaikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Nelayan itu di sini.

Seorang lagi nelayan di Pasir Gembur, Tanjung Bidara, Haron Safar, 67, berkata, dia dan isteri tidak sabar untuk mendiami rumah itu yang dinantikan sejak sembilan tahun lalu.

“Selama 26 tahun saya menumpang ihsan tinggal di tanah orang dan syukur akhirnya mampu memiliki rumah sendiri walaupun enam daripada tujuh anak sudah berkeluarga.

“Tapi setidak-tidaknya, rumah ini dapatlah menjamin masa depan anak cucu yang tidak perlu lagi menyewa atau beli rumah lain pada harga jauh lebih mahal,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast