Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta jam 8.40 pagi tadi.

Beliau dijangka menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ahli Parlimen Pagoh itu ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menaiki kenderaan Vellfire berwarna hitam.

Muhyiddin dilihat mengenakan kemeja berwarna berjalur biru dan blazer biru gelap sempat menurunkan cermin kenderaanya sambil melambai ke arah penyokongnya dan petugas media sebelum memasuki lobi mahkamah.

Hadir sama dalam prosiding mahkamah ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Muhyiddin dalam sidang media selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi mendakwa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan. Beliau dibebaskan dengan ikat jamin SPRM selepas memberi keterangan kira-kira lebih lapan jam.

Artikel berkaitan: 

SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu bagi membolehkan siasatan berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dilaksanakan.

Beberapa individu termasuk Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, telah didakwa di mahkamah berkaitan projek tersebut.

Di luar kompleks mahkamah turut kelihatan sekumpulan penyokong Muhyiddin hadir membawa pelbagai sepanduk membantah tindakan pendakwaan terhadap pemimpin mereka. – MalaysiaGazette