Gambar hiasan

KUANTAN – Pasukan penyelamat menemukan mayat seorang pelajar di Pantai Cempaka, di sini, pada jam 11.50 malam tadi.

Pelajat tersebut dikatakan mandi bersama empat rakannya  di Pantai Cempaka tersebut pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri, 15, ditemui pasukan penyelamat pada jarak 2.5 kilometer beliau dilaporkan lemas.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke darat dan proses pengecaman mangsa dilakukan oleh ayah kandung mangsa.

“Siasatan awal terhadap fizikal mangsa tidak mendapati sebarang kesan tindakan jenayah,” katanya sambil menambah mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 12 tengah malam tadi berikutan penemuan mayat itu.

Dalam kejadian petang Jumaat, Nazrul Aimi merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Soi dilaporkan hilang setelah dipukul ombak dan dihanyutkan arus ketika mandi di pantai itu.

Empat rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai manakala mangsa didapati telah hilang. – MalaysiaGazette