Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar

PULAU PINANG – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dikhabarkan akan bertanding dalam pilihan raya negeri Pulau Pinang yang dijangkakan mengambil tempat pada Jun atau Julai.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, selain khabar untuk bertanding, terdapat juga spekulasi bahawa Nurul Izzah mungkin dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya beliau menang dalam kerusi yang ditandingi dan partinya berjaya membentuk kerajaan.

Sumber juga memberitahu akhbar itu bahawa Nurul Izzah mungkin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak.

Kerusi itu pada masa ini dipegang oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang telah dilantik sebagai Senator dan menjadi Menteri Dalam Negeri di peringkat Persekutuan.

Kerusi itu yang terletak dalam pulau juga dilihat lebih “selamat” buat Pakatan Harapan (PH) berbanding kerusi-kerusi yang terletak di Seberang Perai.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini pernah menjangkakan PH mungkin sukar mempertahankan kerusi-kerusi tertentu, khususnya yang terletak di Seberang Perai, dalam pilihan raya negeri.

Walau bagaimanapun, spekulasi tentang Nurul Izzah bertanding dalam pilihan raya negeri dilaporkan menimbulkan reaksi berbeza dalam PKR terutamanya jika beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Disebabkan ayahnya merupakan Perdana Menteri dan jika Nurul Izzah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri, keadaan itu mungkin menimbulkan kontroversi.

Susulan daripadanya, terdapat sumber yang berpendapat Nurul Izzah akan bertanding dalam pilihan raya negeri, tetapi tidak akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilaporkan merupakan seorang lagi calon untuk jawatan Timbalan Ketua Menteri, tetapi beliau mungkin memberi laluan kepada Nurul Izzah. – MalaysiaGazette