Keadaan kereta yang terbabas sebekum merempuh seorang warga emas sehingga menyebabkannya maut ketika sedang berjalan kaki ke pondok bas untuk menunggu van pekerja di Jalan Ayer Molek - Paya Lebar, Alor Gajah pagi tadi.

ALOR GAJAH – Berjalan kaki ke pondok bas untuk menunggu van pekerja menjadi perjalanan terakhir seorang warga emas apabila lelaki itu maut dirempuh sebuah kereta terbabas di Jalan Ayer Molek – Paya Lebar di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa Kamarudin Md. Jali, 62, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Iswara dari arah Paya Lebar- Lubok China ke Kuala Sungai Baru telah terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh mangsa.

“Sebaik melalui satu kawasan berselekoh, kereta dipandu lelaki berusia 57 tahun itu dari arah Paya Lebar menuju Kuala Sungai Baru telah terbabas ke arah kiri jalan.

“Kereta itu kemudian telah melanggar mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki ke pondok bas berhampiran untuk menunggu van ke tempat kerja kilang ayam menyebabkannya meninggal dunia di lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Arshad, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ketika kejadian, cuaca baik dan kita berharap orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette