Kerjasama SIRIM dan Hannan Mediaspa merupakan usaha berterusan mengukuhkan jenama spa popular itu ke satu lagi peringkat tertinggi.

KUALA LUMPUR-  Selepas 11 tahun beroperasi, jenama spa kecantikan popular iaitu Hannan Medispa mengukuhkan posisinya dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama SIRIM Berhad.

Menerusi perjanjian itu, ia melibatkan kerjasama strategik antara dua pihak sebagai kolaborasi terbesar dan pertama di Malaysia dalam bidang kosmetik.

Pengasas Hannan Medispa, Dr Hannan Yusof menyifatkan kerjasama tersebut usaha berterusan mengukuhkan jenamanya ke satu lagi peringkat tertinggi yang turut diperkasakan menerusi pengenalan tanda pagar #nextlevel.

“Menerusi MoA dan kerjasama ini, SIRIM akan menjadi pembekal utama bahan mentah untuk produk kosmetik kami hasilkan di mana bahan mentah pertama yang dibekalkan dalam produk adalah ekstrak nanas dipanggil bromelain.

“Kajian dan keberkesanan terhadap ekstrak nanas ini dilakukan pasukan penyelidik SIRIM sejak beberapa tahun lalu sekali gus membuktikan produk kosmetik kami hasilkan berasaskan bromelain ini berkesan untuk digunakan termasuk mencerahkan kulit.

“Pihak SIRIM juga sudah dan akan berterusan menguji produk penjagaan kulit keluaran kami yang sedia ada di pasaran termasuk aspek keselamatan penggunaannya melalui kelulusan tapisan keselamatan ketat SIRIM,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Hannan menambah serentak dengan termeterai perjanjian itu, pihak SIRIM juga sudah mengeluarkan sijil keselamatan untuk beberapa produk yang telah diuji.

“Seperti yang ditegaskan Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SIRIM, sekiranya produk tersebut mempunyaicop SIRIM dan barulah beli,” katanya.

Beroperasi sejak 2012, jenama spa terkenal ini sudah memiliki 100 cawangan di seluruh Malaysia dengan jumlah keseluruhan 1500 staf.

Malah hingga kini jenama yang mempunyai lebih tiga juta pelanggan turut memiliki kilang penjagaan kulit sendiri di Muar, Johor yang berkeluasan besar selain memiliki sijil pengiktirafan Good Manufacturing Practice (GMP) dan disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast