ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin bercakap kepada media ketika Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Yang ke-14 Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 MAC 2023.

SHAH ALAM – Tiada sebarang perbincangan mahu pun mesyuarat secara rasmi antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Barisan Nasional (BN) berhubung cadangan agar jawatan Ketua Pembangkang Selangor diserahkan kepada Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, lebih mengejutkan apabila ADUN Bukit Antarabangsa itu cuba menjadi jurucakap kepada Datuk Rizam Ismail ketika cadangan itu dibuat.

“Kita (blok BN) tak ada perbincangan atau mesyuarat secara rasmi. Kami pun tadi dalam keadaan terpingga-pingga apabila Azmin sendiri tadi bercakap bagi pihak Ketua Pembangkang.

“Ini satu tindakan yang saya rasa tidak wajar sebagai seorang bekas Menteri Besar dan pemimpin kanan dalam Dewan Negeri, beliau tak boleh bercakap bagi pihak orang lain.

“Sewajarnya Yang Berhormat Ketua Pembangkang (Rizam) sendiri menyatakan hal sedemikian,” katanya kepada MalaysiaGazette di lobi Dewan Negeri Selangor hari ini.

Terdahulu Mohamed Azmin mencadangkan agar ADUN Sijangkang, Datuk Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Selangor yang baharu.

Cadangan itu dibuat kerana ketua pembangkang sedia ada daripada UMNO-BN kini menjadi sebahagian Kerajaan Negeri Selangor selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

Selain itu, jawatan Ketua Pembangkang itu perlu diserahkan kepada PN kerana Rizam didakwa sudah kurang efektif berbahas bagi pihak pembangkang dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

Mohamed Azmin turut mendedahkan beliau ada menemui Rizam secara empat mata dan mengatakan ADUN Sungai Air Tawar itu mengakui beliau sukar berperanan sebagai ketua pembangkang dalam situasi politik hari ini.

Dalam pada itu, Imran menyifatkan tindakan Mohamed Azmin itu sebagai cadangan yang pramatang kerana ia dikemukakan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Ketua Pembangkang.

“Secara teknikalnya kami masih lagi berada dalam blok pembangkang kerana di Selangor belum lagi diputuskan berkenaan dengan kedudukan kerusi ahli-ahli Dewan Negeri Selangor daripada BN yang mana kita masih lagi dalam kedudukan status quo.

“Sewajarnya kalau ingin melakukan perubahan dari segi komposisi atau kedudukan ketua pembangkang, sebenarnya Datuk Seri Azmin boleh berbincang dengan blok pembangkang bersama kami semua.

“Ini kerana BN masih lagi dalam blok pembangkang,” katanya.

Imran juga berkata, pihaknya tidak keberatan untuk mempertimbangkan cadangannya itu namun ia perlu melalui proses yang sewajarnya.

Katanya lagi, sekiranya cadangannya dibincangkan lebih awal, pihak tidak keberatan menamakan Mohamed Azmin sendiri sebagai ketua pembangkang Selangor yang baharu.

“Melihat kepada kedudukan Yang Berhormat Datuk Seri Azmin sendiri sebagai bekas Menteri Besar Selangor, beliau wajar menjadi ketua pembangkang dan beliau tak perlu mencadangkan nama orang lain.

“Kalau beliau ingin dicadangkan, boleh cakap lebih awal supaya kami atau Datuk Rizam sendiri mencadangkan beliau sebagai ketua pembangkang yang baharu dengan mendapat sokongan daripada semua blok pembangkang.

“Datuk Seri Azmin ada kelebihan kerana beliau tidak lagi punya tanggungjawab di peringkat Parlimen dan beliau boleh tumpu di peringkat DUN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. UMNO Perak menyembah PH jadi ahli kerajaan Negeri
    UMNO Pahang merajakan PH jadi ahli kerajaan
    KENAPA?????
    PH SELANGOR TAK MAHU PUNGUT UMNO….
    Kerajaan pusat PH bersenyawa dengan UMNO!!!
    ahli AKAR UMBI UMNO tak faham bahasa ke??
    atau ahli ni sengal-sengal??

  2. YB UMNO Selangor, malu-malu kicing pula hendak mengaku jadi kerajaan PH-BN Selangor. Salah Adzmin ke yang korang tidak pindah ke kerusi kerajaan Selangor. Hendak jadi pembangkang kena mengakulah yang UMNO Selangor bukan sebahagian dari Kerajaan PH-BN kan senang dan rakyat selangor pun senang.

Comments are closed.