Mentega Terbang
Poster filem Mentega Terbang

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai mengambil keterangan penerbit dan enam pelakon berhubung kes filem Mentega Terbang, semalam.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata percakapan mereka dirakam kira-kira pukul 1 tengah hari di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, PDRM telah merakam percakapan pengarah dan seorang pelakon filem tersebut di Bukit Aman yang dikendalikan USJT JSJ di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Filem Mentega Terbang, yang disiarkan secara percuma di platform penstriman digital, mendapat bantahan umat Islam di negara ini kerana didakwa mengandungi unsur-unsur pluralisme agama yang boleh menjejaskan akidah. – BERNAMA