SHAH ALAM – Dewan Negeri Selangor kecoh apabila Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan UMNO tidak lagi berani bersuara sejak bersama dengan DAP apabila isu kedudukan Ketua Pembangkang di negeri itu ditimbulkan sekali lagi.
Azmin bagaimanapun mempertahankan kenyataannya itu sambil menafikan ia bukan sangkaan jahat, sebaliknya memuji hubungan baik UMNO dan DAP semakin baik dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Cukup diplomatik, bagus UMNO ini, semenjak UMNO berbaik dengan DAP ini, dia (UMNO) tunduk sahaja, tak berani bersuara.
“Baguslah, bila saya kata UMNO berbaik dengan DAP, saya kata UMNO baik, bukan sangkaan jahat,” katanya ketika membahas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Semalam, Azmin mencadangkan agar Ahli Dewan Negeri Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang baharu di Selangor.
Beliau berkata, pelantikan baharu itu dilakukan kerana Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail daripada UMNO-Barisan Nasional (BN) kini bersama Pakatan Harapan (PH) dan tidak lagi efektif menjalankan tugas sebagai ketua pembangkang.
Azmin juga mempersoalkan sikap berdiam diri Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari yang masih melayani UMNO-BN sebagai pembangkang di Selangor khususnya dari soal pemberian peruntukan kawasan.
“Umum tahu bahawa di peringkat Persekutuan, UMNO adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan tetapi di Selangor (tidak jelas).
“Kami ingin tahu apakah di Selangor ini Kerajaan Perpaduan (atau) Kerajaan Madani (atau) Kerajaan Campuran atau kerajaan apa?
“Kalau betullah UMNO ini sebahagian daripada Kerajaan Negeri Selangor, sampai hari ini peruntukan sebagai anggota kerajaan tak dapat lagi.
“Mereka masih dapat (peruntukan) sebagai pembangkang, sama dengan Sijangkang dan Bukit Antarabangsa, mana boleh,” tegasnya.
Azmin turut mempersoalkan layanan PH Selangor itu terhadap UMNO-BN yang tidak selari dengan konsep kerajaan Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kata Kerajaan Madani, di mana nilai ihsan , di mana nilai keadilan, saya bukan marah, saya cuma nak tanya Tuan Speaker. Saya tanya, ketua pembangkang masih UMNO, ini negara gila, zaman edan.
“Baru-baru ini, pelantikan Ahli-Ahli Majlis di 12 PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) langsung tidak melibatkan wakil-wakil daripada UMNO dan BN, simpati saya kepada mereka.
“Mereka anggota kerajaan, kerajaan ini pula Kerajaan Madani, di mana nilai ihsan, di mana nilai hormat kepada rakan kongsi yang baharu,” katanya.
Katanya lagi, jika kedudukan UMNO-BN di Selangor masih tidak selari dengan situasi politik di peringkat Kerajaan Perpaduan, Azmin khuatir Menteri Besar mungkin sukar berlaku adil kepada rakyat negeri itu.
“Kalau Menteri Besar ini tidak boleh berlaku adil kepada rakan kongsi mereka, bagaimana beliau boleh berlaku adil kepada seluruh rakyat Selangor.
“Jadi saya hendak mengajak, kalau rakyat Selangor mahukan kerajaan yang stabil, kuat dan adil, sokonglah Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette