Ahmad Zahid Hamidi. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2023.

KOTA BHARU- UMNO menetapkan tiga kriteria utama iaitu “winnability” (boleh menang), “acceptability’ (dapat diterima) dan “likeability” (disenangi) dalam memilih calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata calon juga akan dibuat berdasarkan keputusan pemilihan UMNO pada 18 Mac nanti.

“Saya akan lihat selepas 18 Mac siapa menang Ketua Bahagian dan kita juga akan teliti tokoh-tokoh yang menang dalam pemilihan Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Dan ini adalah satu penilaian yang kita buat berdasarkan kepada ‘winnability’, ‘likeability’ dan ‘acceptability’, tiga perkara ini jadi kriteria utama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengenalan Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib-naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 peringkat negeri Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas mengenai peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi pilihan pengundi pada PRN Kelantan nanti, Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri mahu rakyat negeri itu memberi peluang kepada parti serta gabungan itu untuk menyelesaikan beberapa perkara termasuk masalah air.

“Saya tidaklah terlalu pesimistik untuk mengatakan kita hanya menjadi pesaing tetapi kalau boleh menjadi kerajaan kenapa tidak?

“Bagi saya di Kelantan ini masalah air mesti diselesaikan, itu janji UMNO dan BN yang wajib diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya UMNO dan BN menjadi pilihan, pihaknya akan tetap meneruskan dasar-dasar baik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri ketika ini.

“Jadi dalam keadaan ini, pengundi Kelantan bagi UMNO menang sekali, kalau kita menang tetapi tidak berprestasi tukar balik kepada yang lama tidak apa tetapi cuba kami dulu dan insya-Allah kami akan buktikan bahawa kami lebih baik.

“Rakyat jangan dimangsakan dengan menikmati air keruh dan mengatakan bahawa itu adalah takdir Allah, jangan salahkan Allah.

“Kita mesti berusaha untuk memberikan air bersih kepada rakyat, beri maksimum kepada UMNO dan BN untuk kami buktikan beri air bersih yang boleh diminum kepada rakyat Kelantan jika diberi peluang oleh pengundi untuk membentuk kerajaan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast