Abu Bakar (kiri) menunjukkan lokasi usaha mencari dan mennyelamat mangsa yang sudah meliputi 99 peratus kawasan hutan rekreasi Bukit Beruang Hill, Melaka.

MELAKA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang peniaga yang dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Beruang Hill di sini petang Selasa lalu masih menemui jalan buntu biar pun usaha mencari sudah meliputi 99 peratus kawasan hutan rekreasi itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abu Bakar Katain berkata, setakat pukul 3 petang ini, operasi SAR melibatkan kekuatan 90 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi mencari mangsa, Steven Tan Kim Huat, 45.

Menurutnya, kawasan pencarian hari ini diteruskan dengan bantuan pasukan unit anjing pengesan (K9) di 20 laluan pendaki, termasuk lebih 12 ‘laluan tikus’ yang sering digunakan pendaki tegar mendaki bukit berkeluasan 40 hektar itu.

“Namun apa yang agak pelik sehingga ke hari ini, kami tidak menemui sebarang petunjuk mengenai keberadaan lelaki itu sama ada daripada segi kesan dahan atau ranting patah atau pun darah jika mangsa mengalami kecederaan.

“Malah ini adalah kali pertama kejadian mangsa dilaporkan hilang sehingga lebih tiga hari yang mana kebiasaannya dalam kebanyakan kes pendaki sesat akan ditemui dalam tempoh satu hingga empat jam sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau operasi SAR melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Askar Wataniah, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Ditanya apakah terdapat sebarang kemungkinan berlaku terhadap pendaki tegar itu, Abu Bakar berkata, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan dan akan meneruskan operasi SAR yang memasuki hari ketiga esok.

“Pada malam lelaki itu dilaporkan hilang, kita ada menerima maklumat terdapat suara lelaki meminta tolong dan terus mengerahkan pasukan mencari pada malam itu juga namun masih tidak menemui mangsa.

“Mangsa turut mempunyai masalah kesihatan, jadi ada kemungkinan juga dia pengsan menyebabkan kita tidak dapat menemuinya,”katanya.

Mengulas lanjut,  Abu Bakar selain pencarian kaedah fizikal, pasukan itu turut akan menggunakan kaedah spiritual untuk menjejak mangsa di semua empat sektor pencarian. – MalaysiaGazette.