ALOR GAJAH – Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan memperdaya pembinaan projek pembangunan agro pelancongan bernilai hampir RM 1 juta, tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Shaiful Omar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menipu Mohamad Balok, 53, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai dirinya akan menyiapkan projek pembangunan Agro Tourism ladang buah tin di Solok Duku Masjid Tanah dalam tempoh lapan bulan.

Ia menyebabkan mangsa yang juga pemilik ladang tin terbesar di Melaka itu menyerahkan wang berjumlah RM801,000 kepada tertuduh bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan itu.

Difahamkan, projek itu bagi tujuan pembinaan kafe dan 30 unit bilik resort dengan pembayaran dibuat secara berperingkat antara 21 November 2021 sehingga 27 April 2022.

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, pemilik sebuah syarikat itu turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu menjalankan dan menyiapkan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan dengan tidak memegang suatu perakuan pendaftaran yang sah daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 25 (1) , Akta CIDB 1994(Akta 520) dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 29, akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor V. Somsundram mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Peguam Zulfahmi Abu Bakar bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh menanggung keluarga selain
hanya seorang kontraktor bebas dengan hasil berpendapatan yang tidak menentu.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 dengan dua penjamin bagi setiap pertuduhan selain selain bersetuju dengan syarat tambahan.

Kes akan disebut semula 18 April ini – MalaysiaGazette.