Perkhidmatan tambah nilai di lorong plaza tol PLUS dihentikan berkuatkuasa 5 November lalu.

SEPANG – Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengarahkan semua agensi termasuk operator pengangkutan awam di bawah kementerian berkenaan mengaplikasikan satu sistem pembayaran terbuka.

Menterinya,, Anthony Loke Siew Fiok berkata, sistem pembayaran baharu berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Cuma perlu masa untuk selaraskan sistem pembayaran. Umpamanya kalau guna Operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), sekarang ini hanya dua pilihan iaitu pergi ke mesin layan diri dan beli token atau guna Touch n Go (TnG).

“Jadi kita nak aplikasikan satu sistem pembayaran terbuka yang mana selain TnG, apa juga jenis kad, sama ada kad kredit atau debit, boleh sentuh dan masuk.

“Sistem ini akan kita mulakan tidak lama lagi untuk pengangkutan awam khususnya di bawah Prasarana untuk bas, LRT, Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT)… begitu juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sudah diarahkan untuk buat sistem sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Plaza Premium Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan khidmat monopoli Touch ‘n Go mungkin ditimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.

Kata Anwar, Touch ‘n Go sudah beroperasi selama dua dekad namun tidak meyakinkan atau mempunyai perkembangan.

Mengulas lanjut Loke berkata, sistem pembayaran terbuka itu juga mengambil contoh pembayaran parkir di ibu negara yang mana selain TnG, pembayaran boleh dibuat cara lain.

“Namun bagi soal tol, itu terpulang kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) , saya tidak boleh jawab bagi pihak mereka,” menurut beliau.-MalaysiaGazette

 

Kerajaan setuju Touch ‘n Go dikaji semula

1 Komen

  1. Kalau macam tu kenapa perlu ada wang berbentuk fizikal. Guna sahaja wang secara digital untuk mempelbagaikan cara pembayaran. Yg telqh sedia ada kenapa nak menambah dan menyusahkan. Tak perlu nak pelbagaikan kalau ianya kadang kala menyusahkan sesetengah pihak sahaja. Seperti penubuhan JPAM, apa beza penugasan JPAM dengan BOMBA. Kenapa daripada kekuatan anggot JPAM itu di tambah kepada kekuatan keanggotaan BOMBA sahaja. Nak tahu juga kenapa? Siapa yang akan dapat nama? Siapa yqng akan dapat keuntungan.

Comments are closed.