Rais menyantuni murid pra sekolah melakukan tinjauan hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 di SK Kerubong, Melaka hari ini.

MELAKA – Isu kepadatan pelajar sekolah di negeri ini dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi melalui beberapa strategi dirancang bagi mengurangkan jumlah pelajar dalam sesebuah kelas.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, antaranya termasuklah memastikan pemaju perumahan mempunyai tapak untuk pembangunan sekolah di kawasan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai kediaman penduduk.

Bagaimanapun, menurutnya, isu kepadatan pelajar sekolah bukan hanya berlaku di Melaka bahkan di seluruh negara termasuklah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kerubong  yang mempunyai sehingga 40 pelajar dalam sebuah kelas.

“Sebagai contoh, di SK Kerubong ini pelajarnya memang padat dengan hampir 1,400 pelajar, ada 36 kelas dan satu kelas pra-sekolah menyebabkan satu kelas itu mempunyai 40 orang pelajar.

“Jadi kalau sudah sampai nisbah 1:40 itu, memang padat sebab itu saya mohon kementerian Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagaimana boleh kita bantu sekolah yang padat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 di SK Kerubong, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPN yang baharu, Mohd Ghazali Ahmad.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, strategi lain yang dirangka adalah agar pembangunan projek perumahan di kawasan padat mengambil kira keperluan sekolah di kawasan berkenaan.

“Perkara ini memang kita telah bincangkan sejak dari awal saya menjadi Exco, sebagai contoh banyak taman perumahan terutamanya yang berskala besar, pemaju sendiri akan pastikan ada tapak sekolah.

“Masalah yang berlaku sebelum ini, apabila sebuah taman dibina, tiada tapak sekolah baharu dalam rancangan itu,” katanya sambil menambah bajet pembinaan sekolah adalah daripada KPM.

Sesi persekolahan 2023/2024 di Melaka menyaksikan seramai 141,089 murid dan pelajar memulakan persekolahan di 316 sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan serta 5,290 kanak-kanak prasekolah di 170 buah sekolah.

Daripada jumlah itu, seramai 7,749 murid memasuki Tahun Satu di 170 sekolah rendah di seluruh negeri berkenaan. – MalaysiaGazette