Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa melaksanakan pengesanan terhadap pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai langkah mengumpul status mereka selepas tamat Tingkatan Lima.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagi tujuan itu, KPM telah menggunakan sistem e-Profil Kerjaya Murid (ePKM).

Menurut beliau, berdasarkan sistem tersebut sehingga 2 Februari lalu, seramai 50.3 peratus murid sedang menyambung pengajian di pelbagai institusi dan 30.8 peratus yang bekerja bagi lepasan SPM tahun 2021.

“Selain daripada itu, Pentaksiran Psikometrik yang dilaksanakan oleh KPM melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah dapat membantu guru mengenal pasti kecenderungan, kebolehan, potensi dan personaliti serta bakat.

“Ia juga bagi membimbing murid tentang kecenderungan mereka untuk memilih kerjaya dan kemahiran yang dominan dalam diri mereka dalam menentukan hala tuju kerjaya mereka selepas tamat persekolahan,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah yang ingin tahu, apakah langkah diambil KPM untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja berkemahiran dan berpengetahuan di masa akan datang.

Menurut Ahmad Azam, ia susulan 72 peratus daripada pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pengajian lebih tinggi kerana lebih cenderung kepada ekonomi gig.

Fadhlina berkata, KPM turut mengambil pelbagai langkah untuk memberi pendedahan kepada murid berhubung laluan kerjaya serta pendidikan selepas tamat Tingkatan Lima seperti sesi bimbingan yang berfokus untuk memberikan maklumat yang terkini dan bersesuaian dengan kebolehan dan potensi murid.

“Kedua, menggalakkan murid-murid menyertai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

“Saya menyambut saranan daripada Timbalan Menteri sebentar tadi dan saya ingin nyatakan bahawa di peringkat KPM mempunyai kebolehpasaran sebanyak 98 peratus dalam tempoh tiga tahun terkini bagi lulusan TVET,” ujarnya.

Tambah beliau, KPM juga mengadakan pelbagai ceramah motivasi, bengkel kemahiran belajar, kursus pemantapan jati diri, pameran dan karnival pendidikan kerjaya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi. – MalaysiaGazette