KUALA LUMPUR – Ekonomi digital memerlukan tahap inovasi yang tinggi dan setiap kumpulan perlu mengambil peluang menerusi pengenalan program kerajaan dalam mengurus inovasi pada masa akan datang.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, satu program dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini berada di peringkat persediaan dan akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi.
Beliau memberitahu, inovasi bukan sekadar membayangkan robot dan roket tetapi ia meliputi ruang yang lebih luas melibatkan kerja seharian yang dilakukan rakyat.
“Pasukan terlibat telah memulakan kerja bagi tujuan itu sejak dua bulan yang lalu dan kita memang ada kerangka yang baik tetapi ada juga satu cabaran yang perlu ditangani dengan baik iaitu tahap inovasi dalam ekonomi.
“Ini kerana ekonomi digital memerlukan tahap inovasi yang tinggi. Jadi sebab itu kita kena sebar luaskan lagi supaya atau kumpulan, baik pekerja, perniagaan, orang ramai yang mempunyai pandangan dan daya inovasi tinggi supaya mereka boleh ambil peluang yang disediakan daripada program kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.
Rafizi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pengumuman inovasi itu namun percaya rakyat akan menerimanya dengan baik.
Sementara itu, di dalam ucapannya, Rafizi menyeru agar semua kakitangan kementerian bergerak pantas untuk melakukan perubahan secara berperingkat.
“Saya faham akan ada perubahan besar dari segi budaya kerja sebab sewaktu diberi mandat dan lebih ruang, kita diberi harapan besar oleh pemegang taruh iaitu swasta dan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh tiga bulan akan datang, kementerian turut memberi fokus terhadap Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga. – MalaysiaGazette