Seorang guru yang sedang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas kereta dipandunya merempuh tembok batu Klinik Kesihatan Seri Tanjung, Melaka hari ini.

MELAKA – Seorang guru yang sedang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas kereta dipandunya merempuh tembok batu Klinik Kesihatan Seri Tanjung, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa yang merupakan guru di Sekolah Menengah Seri Tanjung, Goh Mun Hock, 59, meninggal dunia di tempat kejadian akibat akibat kecederaan dialami.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi sebelum itu datang dari arah bandar Melaka menuju ke Kem Terendak, Sungai Udang.

“Setibanya di lokasi, kereta dipandu lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok Klinik Kesihatan Seri Tanjung.

“Akibatnya mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

“Setakat ini tiada saksi tampil memberi keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast