Kedua-dua tertuduh, Mohamed Hafiz Ibrahim, 35, dan isterinya, Intan Hafiezah Roslan, 35, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu penjualan 4,245 papan telur berjumlah RM52,990 awal Januari lalu.

ALOR GAJAH – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini, atas tuduhan menipu penjualan 4,245 papan telur berjumlah RM52,990 awal Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohamed Hafiz Ibrahim, 35, dan isteri, Intan Hafiezah Roslan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa telah menipu Muhammad Syafiq Bashir Ahmed, 32, dengan niat memperdaya mangsa untuk mempercayai sebanyak 4,245 papan telur akan dihantar pada 2 Januari lalu.

Perbuatan itu kemudian dengan curangnya telah mendorong mangsa untuk memasukkan wang ke dalam sebuah akaun bank secara berperingkat hingga berjumlah RM52,990 di mana mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdaya.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 942, Simpang Ampat pada 13 Disember 2022 hingga 3 Januari 2023 dan didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding sama, Mohamed Hafiz turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai penjawat awam dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai tentera berpangkat kapten kepada mangsa sama.

Tertuduh turut berdepan dakwaan memakai pakaian yang menyerupai pakaian yang digunakan oleh penjawat awam iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan niat hendak menipu mangsa.

Kedua-dua kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dilakukan di Syarikat Teck Ping Chan Agriculture Sdn Bhd di Alor Gajah pada pukul 5 petang 13 Disember 2022.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 171 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan, atau denda RM400 atau kedua-duanya.

Mohamed Hafiz juga berdepan pertuduhan memperdaya seorang peniaga, Ahmad Farizal Abdul Hajat, 43, kerana menyamar sebagai seorang peguam bagi menyelesaikan kes saman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sehingga mendorong mangsa memindahkan wang tunai sebanyak RM3,000 ke dalam sebuah akaun bank.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan berhadapan pam minyak Petron Simpang Ampat pada 16 Disember 2022 dan 21 Disember 2022.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat dan denda.

Sementara itu dalam prosiding sama, Intan Hafiezah turut berdepan pertuduhan menerima wang sebanyak RM3,000 dan tidak dapat memberi penjelasan munasabah bagaimana wang tersebut diperoleh dalam tempoh 16 Disember 2022 hingga 21 Disember 2022.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala pasangan suami isteri itu yang mempunyai empat orang anak tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Majistret Nurul Nabihah membenarkan tertuduh Mohamed Hafiz diikat jamin keseluruhan berjumlah RM15,500 bagi keempat-empat pertuduhan manakala Intan Hafiezah RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 5 Mei ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette.