Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bergambar kenangan bersama barisan kempimpinan tertinggi UMNO yang baharu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pertama di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Konvensyen Kerajaan Perpaduan akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 14 Mei depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid berkata, konvensyen berkenaan akan memperlihatkan soladiriti dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan.

“Di mana 20 parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan empat gabungan utama akan berada di Dewan Merdeka pada waktu sama bagi kita memperlihatkan solidariti dalam kalangan parti gabungan yang penting dokongan daripada UMNO cukup berpadu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pertama selepas pemilihan berlangsung Sabtu lalu.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO akan terus mendokong kepimpinan Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghargai kehadiran beliau ke ibu pejabat UMNO.

“Ini cukup penting. Kita kukuhkan kerajaan yang ada dan UMNO mendokong sepenuhnya kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Dan menghargai keberadaan beliau di kompleks UMNO untuk mempengerusikan majlis rundingan pimpinan perpaduan,” kata Ahmad Zahid.

Beliau menegaskan, adalah penting untuk kepimpinan UMNO yang baharu dipilih untuk mendokong Kerajaan Perpaduan.

“Dan saya minta sama ada rakan-rakan dalam kepimpinan telah menang atau dilantik atau turut bersama-sama dalam Majlis Tertinggi hendaklah merapatkan barisan dan melupakan titik bengik sebagai mana kita pernah kita hadapi masa lalu.

“Dan biduk berlalu, kiambang bertaut. Kita buka lembaran baru dan kita santuni rakan-rakan yang lain untuk bersama-sama dengan kita.

“Lembaran baru kita harap dapat dilaksanakan bukan sahaja diperingkat negeri tetapi juga di bahagian-bahagian dan cawangan,” katanya. – MalaysiaGazette