MELAKA – Mana-mana hotel atau premis makanan yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di negeri ini diingatkan supaya tidak mengiklankan bufet Ramadan menggunakan perkataan yang boleh mengelirukan umat Islam.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, perkataan atau frasa yang dilarang digunakan dalam medium pengiklanan ialah makanan orang Islam, bufet Ramadan, iftar Ramadan, jom sahur, jom iftar dan set Ramadan
Menurutnya, turut dilarang adalah perkataan muslim friendly, selera rasa Ramadan, selamat berbuka puasa atau mempamer kenyataan yang menyebut ramuan diperbuat daripada kilang yang dipersijilkan halal.
“Sehingga hari ini, terdapat 23 buah hotel dan tujuh buah restoran atau premis makanan di Melaka yang memiliki SPHM yang sah.
“Selain itu, terdapat tujuh hotel yang telah memohon pertambahan menu sempena Ramadan yang masih lagi dalam tindakan semakan oleh pihak Pengurusan Halal JAIM,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sehubungan itu, tegasnya hanya hotel dan premis yang mempunyai SPHM dalam tempoh sah laku sahaja dibenarkan mempromosikan iklan bufet Ramadan dan menggunakan logo halal Malaysia di premis masing-masing.
“Sebarang permohonan yang tidak lengkap akan dikembalikan semula untuk ditambah baik dan Panel Pengesahan Halal Negeri Melaka hanya akan meluluskannya sekiranya ia memenuhi kehendak syarat dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
“Permohonan yang belum lulus tidak dibenarkan sama sekali mempromosi menu baharu berkenaan dalam sebarang iklan bufet Ramadan untuk mengelakkan premis yang tidak mempunyai SPHM dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan (Perakuan & Penandaan Halal) 2011,” katanya.
Tambah Che Sukri, JAIM bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan pemeriksaan ke atas hotel dan premis makanan di sekitar negeri Melaka bagi memastikan tiada kes seumpama itu. – MalaysiaGazette.