Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR – Perubahan amalan gaya hidup lelaki dengan lelaki adalah sebahagian besar penyumbang jangkitan HIV di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, 90 peratus jangkitan HIV bagi penduduk di negara ini membabitkan golongan lelaki.

“Data menunjukkan jangkitan bermula dari umur 20 tahun, bermaksud ia sudah berlaku di tempoh usia remaja dan di peringkat persekolahan.

“Isu pengantunan seksual adalah punca sebahagian kanak-kanak dipaksa memilih gaya hidup tidak sihat ini,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Wan Razali Wan Nor (BN-Kuantan) berhubung tindakan kawalan dan pencegahan jangkitan HIV dalam kalangan pelajar di sekolah menengah dan peringkat institut pengajian tinggi.

Dalam pada itu, menjawab soalan lain, Lukanisman berkata Kementerian Kesihatan kini sedang memberikan tumpuan menyediakan keperluan penjagaan kesihatan dan perubatan berbanding pembinaan parkir bertingkat.

Menurutnya, kekangan tanah kosong dan bersesuaian dalam kawasan hospital turut menghadkan usaha kementerian itu untuk menambah tempat letak kenderaan.

Bagaimanapun katanya, bagi penambahan bangunan dan perkhidmatan hospital di masa akan datang, KKM akan mempertimbangkan penyediaan tambahan tempat letak kereta bagi menampung keperluan yang dijangka meningkat namun ia bergantung kepada peruntukan yang ada .

“Manakala bagi kemudahan baharu, perancangan KKM adalah untuk mereka bentuk tempat letak kereta sebagai sebahagian podium bangunan utama.

“Pada masa ini beberapa inistiaf sudah dilaksanakan bagi mengatasi masalah letak kereta yng kritikal di kebanyakan hospital utama di negara ini antaranya kolaborasi untuk menggunakan tempat letak kereta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan swasta,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang bertanya sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk membina tempat letak kereta bertingkat di seluruh hospital kerajaan. – MalaysiaGazette