PATI yang berjaya ditahan ketika cuba menceroboh negara di perairan Tanjung Ayam, Johor Bahru, awal pagi semalam.

MELAKA – Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menggagalkan cubaan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menceroboh negara melalui perairan Tanjung Ayam, Johor Bahru, awal pagi semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua PATI berusia 12 hingga 43 tahun itu ditahan menerusi Op Merpati I yang dijalankan pada jam 12.50 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, semua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“2 KAD yang dipertanggungjawabkan melaksanakan Op Merpati I telah berjaya menghidu kehadiran PATI melalui Radar Gempita 8 X 8.

“Hasil pengesanan dan penahanan daripada Trup Pengawasan 2 KAD itu berjaya menahan 10 PATI terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia berumur antara 12 tahun sehingga 43 tahun,” katanya.

Menurutnya, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Bayu Damai untuk menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia, Johor Bahru.

Tambah kenyataan itu, dalam penahanan itu, ATM turut merampas wang tunai keseluruhan berjumlah RM16,594.20 dan 14 buah telefon bimbit pelbagai jenama.

“Ketumbukan 3 Divisyen akan terus komited memperkasakan kawalan keselamatan di sempadan negara melalui pemantauan serta penguatkuasaan berterusan bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dikekang demi kedaulatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette.