KUALA LUMPUR – Lima kediaman musnah 100 peratus dalam kebakaran di Jalan 18, Kampung Baru Salak Selatan, di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 pada pukul 5.31 pagi.
Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, E Yogeswaran berkata, seramai 46 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi, BBP Cheras dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus selepas itu.
Menurut beliau, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati, kebakaran membabitkan lima buah rumah jenis separa kekal.
“Tekanan air rendah menyukarkan operasi pemadaman bagaimanapun kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.35 pagi.
“Kejadian tidak membabitkan mangsa dan kemusnahan kebakaran dianggarkan 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette