ketua pembangkang Lim Kit Siang rasuah PRN
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan perlu menggunakan strategi yang berkesan untuk menangkis pembohongan Perikatan Nasional (PN) kononnya kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini sedang terancam.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan itu mesti dilakukan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menurut beliau, pembohongan yang disebarkan oleh PN ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kawasan Parlimen Padang Serai dahulu bukan sahaja boleh mengancam kelangsungan Kerajaan Perpaduan, malah menjejaskan masa depan negara.

“Tiada kaum atau agama di Malaysia yang diancam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sofee Razak gagal mempertahankan kerusi yang disandang PKR dan PH sejak PRU12.

Dalam pertembungan enam penjuru itu, calon PN, Azman Nasrudin menang setelah beroleh 51,637 undi, mengatasai Mohamad Sofee dengan majoriti 16,260 undi.

Pilihan raya tersebut merupakan yang pertama di peringkat kerusi Parlimen selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kit Siang menambah, Kerajaan Perpaduan seharusnya membuktikan gelombang hijau tidak akan berlaku di enam negeri yang akan menghadapi PRN kelak.

Beliau memberitahu, mereka mesti menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang serta kekal sebagai kerajaan negeri di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Mereka juga mesti menang lebih daripada tiga kerusi di Kedah serta sekurang-kurangnya satu kerusi di Kelantan dan Terengganu,” jelasnya.

Kit Siang berkata, sebelum ini, pemimpin-pemimpin PN mendakwa mereka membentuk kerajaan negeri di Selangor dan mempunyai peluang 50 peratus untuk menang di Negeri Sembilan.

Katanya, mereka turut mendakwa PN akan menyapu bersih semua kerusi di Kelantan dan Terengganu manakala parti-parti lawan tidak mampu meraih lebih daripada tiga kerusi di Kedah. – MalaysiaGazette