wan ahmad fayhsal lawatan rasmi
Neow Choo Seong

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempertikaikan pencapaian lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi  menunjukkan beliau tidak faham asas diplomasi dalam konteks hubungan antarabangsa.

Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong berkata, pembangkang berniat jahat apabila sengaja mempermainkan isu lawatan Anwar dan sengaja mahu menjatuhkan kredibiliti kerajaan.

Beliau yang juga bekas diplomat dan pernah berkhidmat dengan Kementerian Luar menganggap perbuatan itu adalah tidak bertanggungjawab dan tidak patriotik.

“Adalah jelas bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi kali ini adalah atas jemputan kerajaan Arab Saudi.

“Selain itu, Perdana Menteri juga telah diberi taraf tetamu penuh oleh kerajaan Arab Saudi dengan pemberian kemudahan dan layanan yang setimpal sepanjang lawatan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam sidang media di bangunan Parlimen semalam, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menganggap lawatan Anwar ke Arab Saudi sebagai gagal.

Beliau beranggap sedemikian kerana lawatan itu langsung tidak melibatkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud atau Putera Mahkota Mohammed Salman sedangkan dalam kenyataan media daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, jemputan itu adalah daripada kerajaan Arab Saudi.

Choo Seong menambah, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah mengadakan lawatan kerja ke Arab Saudi terlebih dahulu sekali gus menunjukkan setiap perincian telah dirancang dan dilaksanakan dengan teratur sebelum lawatan Anwar ke negara berkenaan.

Beliau memberitahu, sebagai blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN) berhak untuk memberi komen atau kritikan terhadap kerajaan berdasarkan prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi.

“Namun, setiap kenyataan atau kritikan itu seharusnya lebih bersifat profesional dan objektif. Pihak pembangkang tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang kurang tepat demi mempengaruhi persepsi rakyat selain bermain dengan isu yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara lain,” jelasnya.

Choo Seong berkata, sebagai bekas timbalan menteri, Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya arif dalam aspek protokol dan prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap lawatan pemimpin Malaysia ke luar negara.

Malah, menurut beliau, kejadian seumpama itu pernah berlaku ke atas pemimpin negara sebelum ini termasuk semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi pada Mac 2021 dan lawatan rasmi Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mac 2022.

“Sekiranya masih kurang jelas, saya sarankan supaya Wan Ahmad Fayhsal merujuk kepada Muhyiddin dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang ketika ini berada di blok pembangkang.

“Saya yakin kedua-dua orang tokoh politik ini sangat arif dan memahami keadaan sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast