SHAH ALAM – Pelakon, Farid Kamil hadir di Mahkamah Syariah Subang Bestari di sini pagi ini dengan membawa sebentuk cincin dan sejambak bunga ros untuk diberikannya kepada isterinya, Diana Danielle.

Farid, 42, tiba mahkamah beberapa minit selepas Diana memasuki mahkamah.

Pelakon filem Anwar, The Untold Story itu berkata, jambangan bunga tersebut merupakan tanda pendamaian untuk Diana.

Manakala cincin itu adalah sempena perkahwinan pasangan berkenaan yang bakal mencecah 11 tahun tidak lama lagi.

“Bunga ini saya nak berikan kepada Diana sebagai tanda pendamaian pertama,” katanya ringkas kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Diana yang tiba di mahkamah tidak mahu mengulas panjang dan hanya mengucapkan salam Ramadan kepada wakil media.

Pasangan berkenaan hadir di mahkamah tersebut pagi ini bagi proses sebutan kes penceraian mereka.

Awal Febuari lalu, Diana yang juga pelakon Imaginur memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

Bagaimanapun Farid di mahkamah yang sama baru-baru ini enggan melafazkan cerai.

Kemudian Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan pasangan pelakon itu untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan permohonan ditetapkan semula hari ini.

Kedua-dua artis berkenaan mendirikan rumah tangga pada November 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 7.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Diana Danielle fail permohonan cerai