Temubual bersama peguam, Faizal Rahman di Setapak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam mendesak polis untuk membuka kertas siasatan dakwaan bekas ratu cantik yang juga seorang pelakon yang dikatakan telah menerima ugutan bunuh sejak awal tahun ini.

Faizal Rahman berkata, gesaan itu dibuat kerana anak guamannya, Shakila Saiful telah membuat laporan polis pada Januari lalu di Balai Polis Beranang dan terbaharu pada 30 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Polis Dang Wangi terhadap suami dan bapa mentuanya.

Namun, dakwanya, kesemua laporan polis tersebut tidak dibuka kertas siasatan dan tiada sebarang keterangan diambil daripada Shakila sehingga hari ini.

“Laporan polis telah dibuat sejak Januari tahun ini dan anak guam saya tidak pernah dipanggil untuk dirakam percakapan sampai sekarang dan hanya di dimaklumkan semalam bahawa kes ini dirujuk kepada majistret,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Turut hadir, Shakila atau nama sebenarnya, Nor Shakila Mohammad Saiful Islam, 27.

Bekas ratu cantik negara, Nor Shakila Mohammad Saiful Islam berbicang dengan peguam, Faizal Rahman mengenai kesnya di Setapak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2023.

Faizal turut mempersoalkan sama ada kes itu tidak disiasat kerana Shakila membuat aduan terhadap seseorang yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam masyarakat.

“Hal ini PDRM perlu menjawab dengan ikhlas kerana kami berpandangan di dalam keadaan satu aduan telah di buat yang mana disyaki melibatkan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 312-315 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melibatkan perbuatan menyebabkan berlakunya keguguran dan menghalang seorang bayi dilahirkan hidup.

“Secara jelas, pihak polis mempunyai kuasa untuk menyiasat perkara ini dengan memanggil pengadu dan pihak-pihak yang diadu untuk memberi keterangan dan siasatan dimulakan.

“Isu ini bukannya isu kecil kerana berapa banyak pasangan di negara kita melakukan atau terlibat dengan perbuatan menggugurkan kandungan ini dan adakah PDRM akan menutup kes-kes tersebut yang lain?” soalnya lagi.

Faizal menambah, bapa mentua Shakila juga telah memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Februari lalu.

“Pada hari ini, pihak kami telah memfailkan pembelaan dan kami diarahkan oleh anak guam kami untuk memfailkan juga satu tuntutan balas terhadap suami dan bapa mentua Shakila.

“Tuntutan balas ini antara lain berkenaan dengan konspirasi dalam menyalahgunakan fatwa Pahang & Fatwa Negeri Perlis, misrepresentation & nervous shock di mana kes ini telah ditetapkan untuk sebutan pada 2 Mei depan,” katanya.

Sebelum ini, Shakila mendakwa diperdaya dalam perkahwinannya biarpun sanggup berkorban nyawa menggugurkan kandungan anak luar nikah sebelum ini.

Shakila berkata, dia menggugurkan janin anak kembar berusia sebulan itu pada awal tahun lalu walaupun enggan melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Dia memberitahu, dia melakukan perbuatan itu selepas dipujuk oleh keluarga suami dengan alasan fatwa di dua buah negeri menghalalkannya sebelum dia dan suami berkahwin pada 22 Mei tahun lalu sebagai janji menggugurkan janin itu.

Shakila sebelum ini pernah memenangi gelaran Miss Lumiere International World Borneo 2021, Miss India Worldwide Malaysia 2018 (Miss Beautiful Skin) dan Miss Malaysia Kebaya 2017/2018.

Gelaran lain adalah Ratu Kebaya 2017, Ratu Cheongsam 2017 dan Miss Petite Malaysia World 2016 di tempat ketiga yang juga memegang kategori Miss Popularity. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya sanggup gugur kandungan luar nikah tapi akhirnya diperdaya – Bekas ratu cantik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast